ANALISIS PEMILIHAN BAHASA DAN PENGALIHAN KOD DALAM KOMUNITI BONGGI TERPILIH DI SABAH.

MANSUR, AHMAD (2020) ANALISIS PEMILIHAN BAHASA DAN PENGALIHAN KOD DALAM KOMUNITI BONGGI TERPILIH DI SABAH. Doctoral thesis, Universiti Sains Malaysia.

[img] Text
AKHMAD MANSUR_ANALISIS PEMILIHAN BAHASA DAN PENGALIHAN KOD DALAM KOMUNITI BONGGI TERPILIH DI SABAH_AKHMAD MANSUR.pdf
Restricted to Registered users only

Download (3MB)

Abstract

Kajian ini membincangkan berkenaan pemilihan bahasa dan pengalihan kod dalam komuniti Bonggi di Pulau Banggi, Sabah. Objektif pertama kajian ini adalah untuk menganalisis pemilihan bahasa dalam kalangan masyarakat Bonggi. Objektif kedua pula adalah untuk menganalisis bentuk pengalihan kod dari segi linguistik dalam perbualan harian penutur bahasa Bonggi dan objektif ketiga kajian ini adalah untuk menghuraikan faktor-faktor pertembungan bahasa di Pulau Banggi. Ketiga-tiga objektif berkenaan dicapai dengan menggunakan tiga pendekatan, iaitu teori domain perlakuan bahasa yang dikemukakan oleh Fishman (1972), jenis-jenis pengalihan kod oleh Hamers & Blanc (2000), dan faktor-faktor pertembungan bahasa oleh Weinreich (1953). Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif untuk menghuraikan data yang diperoleh di lapangan. Data berkenaan pemilihan bahasa diperoleh melalui kaedah soal selidik dan dianalisis menggunakan perisian IBM SPSS untuk mendapatkan jumlah kekerapan dan peratusan, manakala data berkenaan pengalihan kod dan faktor pertembungan menggunakan kaedah temu bual. Hasil kajian menunjukkan bahawa masyarakat Bonggi merupakan masyarakat yang bersifat dwibahasa, bahkan segelintir daripada mereka juga merupakan penutur tribahasa. Walaupun bahasa Bonggi masih digunakan dalam kehidupan harian, namun penggunaan bahasa Melayu dialek Sabah amat ketara dalam beberapa domain bahkan dalam domain rendah, bahasa Melayu dialek Sabah menjadi bahasa utama komunikasi terutamanya oleh penutur kelompok 1 dan kelompok 2. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa terdapat segelintir penutur yang sudah tidak mampu lagi bertutur dalam bahasa Bonggi dan hanya mampu menguasai bahasa etnik lain dan bahasa Melayu dialek Sabah semata-mata. Perbualan harian yang berlangsung antara sesama penutur bahasa Bonggi juga memperlihatkan aspek pengalihan kod dalam bentuk pengalihan tempelan, pengalihan interayat, dan pengalihan intraayat dan hadir dalam hampir setiap perbualan yang berlangsung. 3. Bagi faktor pertembungan pula, dapat dijelaskan bahawa faktor bukan struktural menjadi faktor utama di samping faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya pertembungan bahasa dan mengakibatkan berlakunya pemilihan bahasa serta pengalihan kod dalam masyarakat Bonggi. Kesimpulannya, diharap hasil kajian ini dapat menjadi titik tolak kepada pengkajian pelbagai aspek lagi berkenaan masyarakat Bonggi. Kajian ini penting sebagai pencetus kepada usaha pelestarian dan pemeliharaan bahasa oleh masyarakat bagi memastikan bahasa Bonggi terus digunakan.

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subjects: Social Sciences > Communities. Classes. Races
Depositing User: ENCIK SAIFUL FADZLY JAMALUDIN
Date Deposited: 24 Aug 2026 15:24
Last Modified: 24 Aug 2026 15:24
URI: https://repositori.mohe.gov.my/id/eprint/404

Actions (login required)

View Item View Item